Anak-anak kecil memerlukan belaian kasih sayang, asuhan dan didikan (tarbiah) ibu bapa yang pengasih dan bertanggungjawab, untuk membesar dalam suasana kekeluargaan yang sempurna.
Pada peringkat alam kanak-kanak ini, Islam menggariskan beberapa peraturan asas yang sepatutnya diberikan perhatian oleh ibu bapa ke arah pembentukan diri dan jiwa anak-anak agar menjadi insan berkeperibadian tinggi dan bertakwa suatu hari kelak.
Kanak-kanak mestilah dididik supaya mengenal pencipta dan pentadbir alam ini iaitu Allah SWT.
Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih bersih yang perlu dibentuk untuk mengenal dan mengetahui hakikat ketuhanan sebagai asas tauhid yang kukuh.
Asas yang dipancang dengan padu dalam jiwa anak-anak ini akan dapat melahirkan insan yang dapat memperhamba dan menghampirkan diri kepada-Nya dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
Tanpa mengenali Zat yang disembah, tidak akan membawa apa-apa makna dalam kehidupan kita. Makhluk seluruhnya berhajat dan berharap kepada pertolongan, perlindungan dan belas kasihan Allah.
Mengenal Allah boleh dicapai melalui berbagai-bagai cara. Umpamanya dengan melihat dan memikirkan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita dan juga penghayatan Asma'ul Husna (sifat-sifat Allah).
No comments:
Post a Comment