Monday, January 28, 2013

Memberi Khabar Gembira dan Tahniah Atas Kelahiran Bayi

Bismillahir-rahmanir-rahim...

"Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma."

Hadis Riwayat Abu Burdah daripada Abu Musa r.a.


Tangisan bayi bergema memecah keheningan suasana. Kehadiran ahli keluarga baru itu memang dinanti-nantikan khususnya oleh si ibu dan juga si bapa. Kelahiran bayi sebagai penghubung jambatan kasih suami isteri adalah suatu rahmat Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Kesempurnaan Islam tergambar dengan jelas dari peringkat awal kelahiran insan. Kegembiraan menimang cahaya mata yang sekian lama ditunggu seharusnya disempurnakan menurut lunas-lunas yang Islam tentukan.

Kelahiran bayi merupakan satu khabar gembira bagi setiap insan. Justeru, orang-orang Islam yang mendengar khabar gembira ini perlu bersegera meraikan kegembiraan tersebut. 

Jika kita menyoroti sirah peribadi agung Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa ketika Baginda dilahirkan, Thuwaibah telah memberi khabar gembira kepada Abu Lahab yang ketika itu menjadi majikannya dengan mengatakan: 

"Telah lahir seorang anak lelaki daripada Abdullah."

Maka Abu Lahab pada ketika itu dengan serta-merta memerdekakannya kerana terlalu gembira.

Ucapan tahniah terhadap pasangan yang menerima cahaya mata merupakan salah satu cara meraikan kegembiraan tersebut. Tujuan menyampaikan khabar gembira ini adalah untuk menanamkan perasaan kasih sayang dan membina kesatuan sesama umat Islam.

No comments: