Thursday, February 14, 2013

Solat Pintu Pertama ke Syurga

Bismillahir-rahmanir-rahim...


Solat: Perniagaan Tanpa Modal

Ibadah haji yang dikerjakan berpuluh ribu manusia di Makkah setiap tahun adalah syiar global Islam di dunia. Ia simbol universal agama Islam dan umatnya. Namun, ibadah haji menuntut keperluan yang tinggi dari segi kos perjalanan yang meningkat setiap tahun dan peruntukan masa yang sukar dipenuhi. Malah kepadatan kuota jemaah haji yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi juga menjadi penghalang kepada seorang Islam menunaikan ibadah teragung ini. Natijahnya tidak ramai yang berpeluang mengerjakan haji, dan kalau pun berpeluang, tiada jaminan ibadahnya sempurna. Justeru, ibadah haji adalah tuntutan yang memerlukan modal terlalu besar untuk dilakukan, sekaligus menyekat penyertaan ramai individu Muslim.

Tetapi sebaliknya bagi solat. Ia adalah satu-satunya ibadah berganjaran besar tanpa memerlukan modal besar. Solat tidak menuntut kos pengangkutan yang tinggi kerana ia boleh dilakukan di mana sahaja. Justeru, ia juga tidak perlu dihadkan dengan kuota tertentu kerana tempat solat tidak ditentukan pada suatu negeri tertentu. Rasulullah pernah menceritakan mengenai kelebihan baginda dan umatnya dibandingkan dengan para nabi dan umat mereka yang lain. Antara kelebihan itu ialah Allah menjadikan seluruh muka bumi ini tempat bagi orang Islam menunaikan solat.

Solat: Pintu Pertama ke Syurga

Ibadah yang diwajibkan ke atas orang Islam adalah anak kunci bagi mereka membuka pintu-pintu syurga dan mengunci pintu-pintu neraka. Setiap ibadah yang dilakukan dengan sempurna melayakkan seorang hamba bergerak hampir kepada Allah dan syurga-Nya. Pada ibadah zakat terdapat pintu untuk dibuka, pada ibadah haji dan umrah juga terdapat pintu untuk ke syurga. Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain. Namun begitu, solat mempunyai kedudukan istimewa kerana ia adalah pintu pertama yang perlu dibuka sebelum sampai kepada pintu-pintu lain. 

Rasulullah pernah berpesan bahawa amalan pertama yang dihitung ialah solat. Sekiranya solatnya baik, dia akan berbahagia dan beruntung. Sekiranya rosak, dia pasti menyesal dan rugi. Ini memberikan gambaran jelas mengenai keutamaan solat dibandingkan dengan ibadah-ibadah yang lain. Tidak kira berapa juta ringgit disumbangkan sebagai sedekah atau zakat, tidak kisah berapa kali seorang itu menunaikan haji dan umrah, sekiranya dia meninggalkan solat, semua ibadah yang lain tidak berguna. 

Ironinya, ibadah paling tidak eksklusif, tanpa modal dan kelihatan terlalu mudah inilah yang paling bernilai di sisi Allah. Mengapa tidak, semua orang boleh membayar zakat, menunaikan haji, berpuasa dan mengucapkan syahadah. Namun tidak semua orang mampu menjaga waktu solat fardhu yang perlu dilakukan setiap hari. Solat adalah connection langsung seorang hamba kepada Penciptanya tanpa perantaraan material atau manusia lain. Hanya takwa dan iman yang mampu menggerakkan seorang hamba menyembah-Nya lima waktu setiap hari. 

Untuk mencari kesempurnaan dalam solat, kita perlu terlebih dahulu memahami bahawa solat adalah ibadah paling istimewa. Ia adalah talian pantas untuk terus berhubung dengan Allah. Solat adalah ibadah unik yang perlu dipelihara dan dikerjakan dengan sempurna. Hanya dengan memahami hakikat ini, seorang hamba dapat berusaha mendirikan solat dengan sempurna.

Banyak lagi pengisian menarik yang dibincangkan di dalam buku ini. Oleh itu, dapatkannya kini dengan harga RM40.00/unit sahaja. Jika berminat, sila tinggalkan pesanan di ruangan komen atau pm saya di FB atau emelkan di luna.godric@gmail.com

No comments: